Karangan

Faedah Bekerja Sambilan Kepada Pelajar (Kebaikan)

Perhatian kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adakah anda sudah membuat latihan yang cukup dalam penulisan karangan? Sudahkah anda meneliti tema-tema yang berpotensi menjadi tajuk kepada soalan di dalam peperiksaan? Sekiranya tidak, berikut dikongsikan contoh karangan yang bertajuk Faedah Bekerja Sambilan Kepada Pelajar untuk rujukan semua.

Umum mengetahui, pelajar perlu menulis karangan melebihi 350 patah perkataan. Justeru, bagi memastikan karangan anda berada pada tahap yang cemerlang, pelajar perlu menulis sekurang-kurangnya 6 perenggan atau melebihi tiga muka surat kertas kajang yang digunakan. Sebagai contoh, satu perenggan mengandungi 70 patah perkataan maka, keseluruhan patah perkataan yang boleh ditulis adalah sebanyak 420 patah perkataan. Dengan jumlah yang melebihi kehendak soalan serta penulisan yang baik. pelajar mampu untuk mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

peta minda faedah kerja sambilan kepada pelajar Faedah Bekerja Sambilan Kepada Pelajar (Kebaikan)

Manfaat & Faedah Bekerja Sambilan Kepada Pelajar

Isi-isi penting

  • Mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah
  • Meningkatkan kemahiran diri
  • Membantu dari segi kewangan
  • Membentuk disiplin diri yang baik
  • Menambah kenalan untuk rangkaian pekerjaan
  • Membuka peluang untuk melihat potensi diri

Contoh Karangan Kebaikan & Faedah Bekerja Sambilan Kepada Pelajar

Pendahuluan

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, masyarakat semakin dibebani dengan modenisasi dalam ekonomi yang tidak menentu. Hampir keseluruhan daripada kita menggunakan gajet seperti telefon pintar untuk menghadapi rutin harian pada ketika ini. Di samping keperluan biasa seperti makan, minum dan pakaian yang meningkat harganya dari hari ke hari telah memberikan tekanan ekonomi kepada masyarakat. Kesannya, terdapat golongan pelajar yang terpaksa untuk melakukan kerja sambilan demi menampung keperluan ekonomi bagi diri serta meringankan bebanan ibu dan bapa. Situasi ini kita boleh lihat khususnya di institusi pengajian tinggi dan apabila pelajar sekolah menjalani cuti yang panjang. Jika kita melihat dari sudut yang positif, terdapat pelbagai faedah bekerja sambilan kepada pelajar yang akan diperoleh. Maka, wajar untuk kita bincangkan manfaat tersebut demi kemaslahatan pelajar, ibu, bapa dan golongan pemimpin negara.

Isi 1

Antara manfaat bekerja sambilan ketika dalam pengajian di universiti ataupun sewatu cuti persekolahan adalah ia dapat mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah. Dewasa ini, kita dapat lihat melalui media massa bahawa terdapat anak muda yang terjebak dengan gejala negatif seperti berlumba haram, menghisap dadah dan gangsterisme. Namun, polemik ini dapat dielakkan jika mereka memenuhi ruang masa terluang mereka untuk bekerja sambilan di restoran, pusat membeli belah dan sebagainya. Lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar, mereka akan kurang masa untuk melakukan perkara-perkara yang sia-sia selain daripada mengulangkaji pelajaran dan kemudian bekerja sambilan. Pada mulanya mereka pasti akan berasa letih kerana tenaga dan masa yang digunakan untuk diri mereka tetapi kelak mereka akan mengerti tindakan yang mereka ambil memberikan manfaat buat diri mereka sendiri. Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Isi 2

Faedah lain yang akan diperoleh apabila pelajar melakukan kerja sambilan adalah mereka dapat menambah kemahiran diri. Hal ini adalah mustahak kerana menjelang kedewasaan, pelajar perlu mengasah kemahiran diri khususnya kemahiran berkomunikasi untuk menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi. Skil sosial ini juga penting untuk pelajar apabila masuk ke alam pekerjaan nanti. Selain itu, pelajar juga akan menambah kemahiran dalam bentuk pekerjaan yang dilakukan. Sebagai contoh, apabila bekerja sebagai pelayan restoran, anda akan mempelajari tentang etika pemakanan, menguruskan tempahan dan sebagainya. Pengalaman ini adalah berharga jika pelajar menyedarinya dan dapat mengimplementasikan dalam kehidupan masing-masing pada masa akan datang. Tuntasnya, melakukan kerja sambilan semasa dalam pengajian ssebagai seorang pelajar dapat menambah kemahiran diri kerana laut yang  ditimba tidak akan kering.

Isi 3

Pada masa yang sama, kerja sambilan dapat membantu pelajar dari segi kewangan. Umum mengetahui bahawa terdapat pelajar yang bekerja kerana kurang sokongan kewangan tetapi ada yang bekerja sambilan hanya untuk mendapat wang lebih demi kepuasan diri. Apapun niat pelajar untuk bekerja sambilan, pastikan wang atau gaji yang diperoleh digunakan sebaik mungkin. Mungkin ada yang akan menggunakannya untuk menampung kos pengajian di universiti atau membayar sewa rumah dan duit motorsikal misalnya. Ada pelajar yang akan menabung wang tersebut persis kata peribahasa, sediakan payung sebelum hujan. Ada juga yang akan menggunakannya untuk berseronok menjalankan aktiviti bersama rakan-rakan. Tindakan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan kewangan yang ditampung selama ini oleh ibu dan bapa. Secara tidak langsung juga memupuk diri pelajar untuk berdikari dan belajar mengurus kewangan diri dengan lebih baik.  Tegasnya, bekerja sambilan sebagai pelajar dapat mengukuhkan aspek kewangan diri mereka dan juga keluarga.

Isi 4

Akhir sekali, pelajar yang bekerja sambilan dapat membentuk disiplin diri yang baik. Sekiranya mereka bekerja, pastinya masa mereka untuk belajar dan berehat perlu diuruskan dengan baik. Pelajar akan menjadi lebih disiplin untuk menepati masa supaya pelajaran mereka tidak terjejas, hadir ke tempat kerja pada waktunya dan mendapat rehat yang cukup. Tambahan pula, di tempat kerja pelajar perlu mengikuti peraturan seperti memakai pakaian yang ditetapkan dan menjaga tingkah laku apabila berhadapan dengan pelanggan. Justeru dengan perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar, ia pasti dapat membentuk jati diri dan ketrampilan yang terbaik dalam diri mereka. Persis kata mutiara, belakang parang pun kalau di asah nescaya tajam. Intihannya, pelajar akan menjadi seorang individu yang lebih baik dan berketrampilan tinggi dimana nilai itu akan dilihat sebagai satu kelebihan buat majikan mereka pada masa hadapan.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak faedah yang akan diperoleh pelajar apabila melakukan kerja sambilan. Tetapi, fenomena ini perlu diperhati dengan teliti kerana kita tidak mahu melihat anak muda terpaksa bekerja demi menampung kos pengajian di universiti atau kolej. Pihak berkuasa perlu memastikan capaian pendidikan di dalam negara adalah berpatutan dan mampu untuk disertai oleh seluruh ahli masyarakat yang menetap di Malaysia. Kita tidak mahu anak muda pada hari ini bersusah payah bekerja hanya untuk mendapat segulung ijazah demi masa hadapan mereka. Jika mereka tidak dapat menumpukan perhatian dalam pengajian yang diambil pasti akan merugikan masa dan wang mereka. Ibarat pepatah Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Semoga apapun mekanisme yang diambil oleh pelajar, kita berharap ia dapat melahirkan generasi yang bakal memacu negara ke arah kemajuan dan kejayaan di persada dunia.

Related : mengejar masa, kebaikan dan keburukan, untuk memberi, bahawa pelajar yang bekerja,